| BH-12Dis2010-Azam Madrasah Wak Tanjong |
|
|
|
| Saturday, 05 March 2011 08:51 |
|
12 Dis 2010 ISTIMEWA dari http://cyberita.asia1.com.sg/mistimewa/story/0,6879,178212,00.html? Azam Madrasah Wak Tanjong Ke arah mempertingkatkan prestasi dan memulihkan imej
Ini dilakukan selaras dengan azam madrasah itu untuk memenuhi ukur tara yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi membolehkan institusi yang telah membangunkan golongan ulama setempat sejak lebih separuh abad itu, terus menerima pelajar baru. Antara perubahan yang bakal diperkenalkan ialah sistem pendidikan bercorak modular untuk mata pelajaran ukhrawi bagi pelajar darjah empat hingga enam mulai tahun depan. Sistem modular ini bermakna pelajaran ukhrawi yang sebelum ini digabungkan dalam satu pembelajaran sepanjang tahun kini dibahagi-bahagikan mengikut modul. Lantas, seseorang pelajar yang telah melaksanakan dan dinilai lulus sesebuah modul tidak lagi perlu mengambil modul itu pada penggal seterusnya. Pihak madrasah juga telah memutuskan untuk tidak mengenakan peperiksaan bagi beberapa mata pelajaran ukhrawi yang bukan utama (non-core) seperti Jawi dan Akhlak. Mengulas mengenai langkah-langkah awal itu, Ustaz Abdul Halim menekankan perubahan yang diperkenalkan tidak akan menjejas pengajian ukhrawi, yang terus menjadi teras penting madrasah tersebut. Sebaliknya perubahan itu lebih menjurus kepada pengurusan dan pembahagian masa yang lebih berkesan, supaya pelajar dapat mencapai keseimbangan dalam kededua mata pelajaran ukhrawi dan akademik. 'Hakikatnya, beban yang dipikul murid-murid madrasah (yang akan mengambil PSLE) berat, memandangkan mereka mengambil sehingga 12 mata pelajaran bagi subjek ukhrawi dan akademik. 'Kami harap langkah-langkah ini akan membantu mereka mengimbangi tuntutan kedua-dua bidang pengajian ini dengan lebih baik,' ujar beliau. Madrasah berusia 52 tahun di Sims Avenue itu sekali lagi gagal memenuhi ukur tara minimum yang ditetapkan bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini - kali kedua dalam masa tiga tahun. Ini bermakna, madrasah itu tidak dibenarkan mengambil kohort murid darjah satu bagi tempoh tiga tahun mulai 2012, di bawah peraturan Pendidikan Wajib (CE) MOE. Ukur tara yang ditetapkan ialah 175 mata, manakala agregat purata Madrasah Wak Tanjong ialah 166. Seramai 61 murid madrasah itu menduduki PSLE tahun ini. CABARAN I: Keterbatasan ruang pembelajaran Ustaz Abdul Halim akur sistem pendidikan Madrasah Wak Tanjong, yang beroperasi secara dua sesi, menyukarkan lagi cabarannya dalam mengimbangi kurikulum akademik dan ukhrawi. Faktor ini dan jumlah mata pelajaran yang luas bermakna masa yang diperuntukkan untuk sesuatu mata pelajaran agak terbatas. Memberi contoh, MWTAI memperuntukkan sekitar lapan hingga 10 tempoh masa (period) untuk mata pelajaran sekular. Secara perbandingan, sekolah sekular berupaya memperuntukkan sehingga 15 tempoh masa untuk mata pelajaran yang sama. Sistem dua sesi itu perlu kerana ruang bilik darjah di madrasah itu terhad. Selama ini, bagi menangani cabaran tersebut, madrasah itu mengadakan kelas-kelas tambahan yang dikendalikan guru-guru serta penyedia khidmat swasta serta badan-badan Melayu/Islam. CABARAN II: Membiayai perbelanjaan tahunan Landskap pendidikan kini berubah dengan begitu pantas, dan MWTAI juga mahu berkembang selaras dengan perubahan itu. Namun, pihak madrasah pincang dengan masalah kekurangan dana. MWTAI menampung kos operasinya sejumlah $1.6 juta setahun. Kata Ustaz Abdul Halim, 40 peratus daripada kos operasi madrasah itu ditampung yuran pelajar, manakala 20 peratus lagi diperolehi daripada derma dan projek amal tetap Menurutnya, madrasah itu juga menerima $100,000 setahun daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai geran untuk guru dan pelajar. Baki kos operasi pula dikumpulkan menerusi sumber luar dan projek amal khas. 'Tidak dapat dinafikan, hal ini ada sangkut paut dengan prestasi,' tegas beliau. CABARAN III: Mengekalkan mutu tenaga pendidik Dari sudut tenaga pendidik pula, Ustaz Abdul Halim berkata beliau berpuas hati dengan komitmen dan keupayaan 36 orang guru madrasah itu. Sekitar separuh daripada jumlah ini merupakan guru mata pelajaran sekular. Hampir kesemuanya telah dihantar untuk menjalani latihan yang dibiayai Muis. Selain itu, guru-gurunya juga berpeluang meningkatkan keupayaan menerusi program-program tambahan yang diberikan madrasah sendiri atau menerusi penyedia khidmat swasta dan badan-badan Melayu/Islam setempat.
MEMENUHI UKUR TARA MWTAI, yang menyediakan pendidikan rendah hingga ke pra-universiti, biasanya menerima 65 hingga 70 pelajar setiap tahun. Sebab itulah, menurut Ustaz Abdul Halim, pengekangan pengambilan pelajar selama tiga tahun pasti akan menjejas madrasah tersebut. Hanya masa akan menentukan takat kesan ini. Buat masa ini, sebanyak 38 murid telah berdaftar untuk menyertai darjah satu di MWTAI tahun hadapan. Jika ada pelajar yang berpindah madrasah, pihaknya hanya akan mendapat tahu apabila penggal dibuka Januari ini. Menurutnya, prestasi sesebuah kohort dalam PSLE bersangkut-paut dengan 'mutu' kohort tersebut. 'Ada kohort yang secara semulajadi lebih baik daripada yang lain dan ini ada kesan terhadap kelakonan pelajar,' ujarnya. Lantas, beliau dan tenaga pendidiknya telah mengenal pasti ibu bapa sebagai satu lagi 'senjata' bagi memastikan kejayaan anak- anak Madrasah Wak Tanjong. Madrasah itu merancang untuk mendekati lebih ramai ibu bapa demi menggalak mereka melibatkan diri secara aktif dalam pendidikan anak-anak. 'Di sekolah sekular juga, penglibatan ibu bapa begitu diterapkan. Kita banyak membaca di akhbar, pelajar cemerlang semuanya mempunyai sokongan keluarga yang utuh,' katanya, sebelum mengulas tentang CE. Walaupun beliau menyokong CE sepenuhnya, Ustaz Abdul Halim berharap dasar itu dapat disemak - khususnya ukur tara yang perlu dicapai madrasah dan tindakan yang dikenakan jika ukur tara tersebut gagal dicapai. 'Ini memberi satu tekanan kepada kami, dan tindakan yang dikenakan pula merupakan satu 'hukuman' yang amat berat,' katanya. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut selain berkata Madrasah Wak Tanjong akan terus berdialog dengan Muis dan MOE untuk mencapai satu penyelesaian yang memanfaatkan semua pihak. 'Kami menyokong CE dan akur peri penting anak-anak madrasah mempunyai asas bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang kukuh. 'Pada masa yang sama, kami harap beberapa perkara mengenai dasar ini dapat dinilai semula. 'Kami mahu terus berdialog dengan semua pihak. Kami tidak mahu berbalah ataupun menunding jari kepada sesiapa. Itu bukan tujuan kami. MWTAI mahukan satu penyelesaian yang baik buat semua,' tegas Ustaz Abdul Halim. Ditanya jika cabaran-cabaran yang dihadapi MWTAI boleh diatasi dengan lebih baik jika madrasah itu menyertai Sistem Madrasah Bersama (JMS) kendalian Muis, Ustaz Abdul Halim berkata jawapan kepada soalan itu masih belum lagi jelas. MWTAI, katanya, mahu menilai dahulu kebaikan dan kelemahan sistem tersebut sebelum membuat sebarang komitmen. Antara keprihatinan mereka ialah jumlah pelajar yang akan diterima madrasah itu setiap tahun jika pengambilan pelajar diselaraskan. Mereka juga prihatin akan nasib tenaga pendidiknya jika ia menyertai JMS. Lantaran itulah, pendirian madrasah itu ialah melihat kesan JMS selepas ia berjalan untuk beberapa tahun sebelum membuat penilaian. 'Kami tidak menutup pintu kepada kemungkinan menyertai JMS. Namun, buat masa ini kami yakin, dengan kerjasama lain- lain madrasah, kami mampu mengendalikan Madrasah Wak Tanjong secara bebas tanpa menjejas mutu pendidikan yang diberikan kepada pelajar,' ujar beliau.
MADRASAH PERLU SOKONGAN MASYARAKAT Sokongan masyarakat begitu penting kepada kejayaan madrasah dan Ustaz Abdul Halim beliau bersyukur dengan sokongan yang diterima sejauh ini. Namun, beliau bimbang apabila memikirkan tentang sokongan pada tahun-tahun yang akan datang. Keprihatinannya itu memuncak kebelakangan ini setelah mendengar dan membaca pelbagai komen masyarakat mengenai pendidikan madrasah, termasuk di akhbar dan Internet, lebih-lebih lagi selepas keputusan PSLE diumumkan baru-baru ini. Beliau menambah, sebahagian masyarakat juga mempersoalkan perlunya Singapura mempunyai sehingga enam madrasah untuk menghasilkan golongan asatizah. Jumlah tempat keseluruhan bagi kohort Darjah Satu madrasah setiap tahun ditetapkan pada jumlah 400. Madrasah Wak Tanjong pula menerima sekitar 70 pelajar setiap tahun. Bagaimanapun, hakikatnya Ustaz Abdul Halim menjelaskan, secara purata hanya kira-kira 10 peratus atau tujuh hingga lapan pelajar daripada setiap kohort Madrasah Wak Tanjong yang melanjutkan pengajian di universiti Islam. Selebihnya memilih laluan sekular, sama ada dengan ke sekolah menengah pemerintah atau ke institusi pos-menengah seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Politeknik dan universiti. Ini menurutnya sudah berlaku sejak lebih sedekad lalu. Justeru, beliau berkata madrasah masih memainkan peranan penting untuk membangunkan golongan asatizah dan ulama bagi mengisi keperluan di masjid-masjid, pertubuhan dan pentadbiran Islam. 'Ini juga menunjukkan sistem pendidikan madrasah membuka pelbagai peluang bagi anak-anak kita. 'Laluan mereka tidak hanya terhad kepada bidang keagamaan,' ujar beliau. |
| Last Updated on Thursday, 24 March 2011 14:53 |






