BH-26Nov2010- KEPUTUSAN PSLE PDF Print E-mail
Saturday, 05 March 2011 09:23

  

26 Nov 2010

SINGAPURA

KEPUTUSAN PSLE


Wak Tanjong akan teliti langkah selanjutnya

Antara rancangan madrasah termasuk bincang dengan Muis cara baiki prestasi murid

Oleh
Shamsul Jangarodin dan Hisham Hasim dan Nurul Dayana Simangoon.

MADRASAH Wak Tanjong Al-Islamiah bertekad memperbaiki pelbagai kelemahan yang ada bagi mempertingkatkan prestasi pelajarnya dalam menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang akan datang.

Ini menyusuli kegagalan mereka memenuhi ukur tara minimum iaitu 175 mata yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (MOE) di bawah pengecualian Pendidikan Wajib (CE) tahun ini - kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Untuk itu, madrasah tersebut akan bekerja rapat dan berbincang dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), termasuk mengenai cara-cara terbaik untuk memajukan lagi kelakonan para pelajarnya.

Hasrat tersebut dilahirkan naib mudir madrasah itu, Ustaz Mohd Abdul Halim Mohd Noor, ketika ditemui Berita Harian semalam.


'Masih terlalu awal untuk memberi komen apa-apa. Kita harus duduk berbincang dengan semua pihak, termasuk guru-guru, untuk melihat kelakonan dan mengenal pasti kelemahan yang ada.

'Sekarang musim cuti sekolah, jadi dalam beberapa minggu akan datang kami akan berbincang dan menilai apa yang perlu dilakukan, termasuk menemui pihak ibu bapa yang mungkin prihatin tentang hal ini,' kata Ustaz Mohd Abdul Halim.

Difahamkan seramai 61 murid Madrasah Wak Tanjong - 30 lelaki dan 31 perempuan - menduduki PSLE tahun ini.

Madrasah itu kini mempunyai seramai 665 pelajar dari peringkat darjah satu hingga ke prauniversiti.

Selain empat mata pelajaran PSLE, murid-murid madrasah peringkat rendah turut mengambil enam mata pelajaran ukhrawi - Al-Quran, Hadis, Fiqah, Tauhid, Sejarah dan Bahasa Arab.

Dua tahun lalu, Madrasah Wak Tanjong turut gagal memenuhi ukur tara minimum PSLE sebelum memperbaiki kelakonan dan memenuhi ukur tara itu tahun lalu.

'Mungkin kita semak balik, tengok apakah yang perlu ditingkatkan, kelemahan yang ada, dan memperbaiki kelemahan tersebut kerana kita masih ada tiga tahun lagi untuk berusaha,' jelas beliau.

Meskipun tidak dapat mengambil kohort darjah satu selama tiga tahun bagi tempoh 2012 hingga2014, Madrasah Wak Tanjong telah pun menerima permohonan 37 murid bagi kohort darjah satu 2011.

Antara usaha yang mungkin dilaksanakan, kata Ustaz Mohd Abdul Halim, ialah mengadakan kelas-kelas tambahan bagi murid-murid lemah, serta menambah program dan bengkel pelajar dan ibu bapa seperti yang dijalankan bersama Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Mendaki.

Ditanya sama ada pihak madrasah akan mengikuti Sistem Madrasah Bersama (JMS), Ustaz Mohd Abdul Halim berkata:

'Kami belum lagi buat apa-apa keputusan tetapi akan terus menganalisa kelakonan pelajar kami pada masa hadapan. Masih ada lagi masa untuk kami.

'Kami akan cuba berusaha, kalau boleh kami akan teruskan tanpa menyertai JMS jika kami mampu melakukannya.'

Last Updated on Thursday, 24 March 2011 14:45