Nisha Mohd Rafiq (BH 17 Feb 2011) PDF Print E-mail
BH 17 Februari 2011

SINGAPURA
Mengejar Impian Jadi Saintis

Oleh Nuradilah Mahbob



MINAT SAINS HAYAT: Bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Cik Nisha Mohd Rafiq, akan ke United Kingdom bagi mengambil kursus sarjananya dalam bidang sains hayat, setelah tamat pengajiannya di NUS. -- Foto TAUFIK A. KADER

BERMULA sebagai seorang pelajar madrasah, beliau kini selangkah lebih dekat untuk mencapai impiannya menjadi seorang saintis yang menyelidiki penyakit berjangkit dan barah. Bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTAI), Cik Nisha Mohd Rafiq, 23 tahun, sedar bahawa ini memerlukan ilmu pengetahuan daripada pelbagai cabang sains.

Justeru, Cik Nisha, yang kini mahasiswa tahun ketiga di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan sains hayat bakal memperluaskan lagi minatnya dalam bidang tersebut.

Beliau satu-satunya mahasiswa NUS yang dipilih bagi menjalani program ijazah sarjana yang ditawarkan bersama Fakulti Sains NUS dan Jabatan Sains Bioperubatan di King's College London di United Kingdom.

Cik Nisha telah dipilih berdasarkan keputusan cemerlangnya.

Pada tahun pertama di NUS, beliau muncul dalam Senarai Dekan sebagai antara 5 peratus pelajar terbaik.

Di bawah program ijazah bersama NUS dan King's College London, Cik Nisha akan ke Britain selama setahun mengambil ijazah sarjana dalam bidang fizik molekular - satu cabang dalam bidang sains hayat.

Beliau dijangka terbang ke Britain pada April tahun depan setelah tamat menjalani kursus ijazah sarjana muda di NUS.

Tetapi sebelum itu, beliau akan ke Britain pada musim cuti penggal Mei hingga Ogos ini untuk mempersiapkan diri bagi program tersebut.

Ditemui Berita Harian di Dewan Universiti di NUS semalam, Cik Nisha menjelaskan minatnya dalam bidang sains dan perubatan bermula daripada sekolah rendah lagi. Ibunya, Cik Nishani Abdullah, 49 tahun, seorang guru di MWTAI, yang mendorongnya meneruskan pelajaran akademiknya setelah beliau lulus dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' dengan cemerlang.

Melanjutkan pelajarannya dalam jurusan sains bioperubatan di Politeknik Temasek, beliau kemudian muncul sebagai pelajar terbaik kohortnya.

'Ramai pelajar madrasah sebenarnya kurang yakin diri dan tidak sedar bahawa terdapat pelbagai peluang di luar madrasah mereka,' kata Cik Nisha, anak sulung tiga beradik. Ingin melihat pelajar madrasah bangkit dan maju, beliau kini giat membimbing pelajar-pelajar madrasah dalam satu program persiapan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), melalui satu program sukarelawan yang dinamakan Meraih Kecemerlangan dalam PSLE (Apex).

'Saya memberi mereka kata-kata perangsang bahawa saya juga bermula sebagai seorang pelajar madrasah dan mereka boleh kecapi apa juga cita-cita mereka,' kata Cik Nisha.

Mudah Cetak | E-mel