Pendidikan Madrasah Tidak Hambat Pilihan Kerjaya (BH 12 Dec 2010) PDF Print E-mail
BH 12 Disember 2010

ISTIMEWA
Pendidikan madrasah tidak hambat pilihan kerjaya



PENDIDIKAN MADRASAH BUKA PELUANG: Bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al Islamiah, Cik Maryam Hashim (kanan) dan Cik Nisha Mohd Rafiq, berpuas hati dengan pendidikan yang ditimba di madrasah yang membuka laluan untuk mereka mengejar kerjaya bukan sahaja dalam bidang agama, malahan dalam bidang sains dan kejuruteraan. - Foto KHALID BABA

PENDIDIKAN madrasah tidak pernah menghambat peluang pilihan kerjaya di kalangan penuntutnya.

Sebaliknya, peluang pekerjaan dalam beraneka bidang terbentang luas untuk pelajar madrasah yang berupaya dalam kedua-dua bidang ukhrawi dan duniawi.

Yang penting adalah sikap yang ditunjukkan seseorang pelajar madrasah itu semasa menimba ilmu, menurut beberapa bekas penuntut madrasah yang ditemui Berita Minggu (BM) minggu lalu. Seorang daripada mereka ialah Cik Maryam Hashim, 24 tahun.

'Pendidikan madrasah begitu penting dalam pembentukan keperibadian saya. Di madrasah jugalah saya sedar akan keupayaan saya dalam bidang matematik dan sains.

'Dari situ, saya mula memupuk minat dalam bidang itu dan akhirnya berjaya melanjutkan pengajian ke tahap selanjutnya, ' kata Cik Maryam yang kini bertugas sebagai jurutera kajian di Politeknik Nanyang (NYP).

Bekas penuntut Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTAI) ini menghabiskan sekolah rendah dan menengahnya di madrasah itu sebelum melanjutkan pelajaran di NYP dan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang kejuruteraan kimia.

Pengajian kejuruteraan kimia adalah antara bidang paling mencabar dalam pengajian kejuruteraan.

Walaupun jumlah penuntut madrasah yang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan matematik berkurangan berbanding dengan dalam bidang lain, Cik Maryam tetap bersyukur. 'Alhamdulilah saya berjaya dalam pengajian saya dahulu. Sebenarnya, saya percaya bahawa sesiapa yang menceburi bidang yang diminatinya dengan bersungguh-sungguh, akan berjaya,' kata Cik Maryam. Seorang lagi bekas penuntut madrasah yang mengejar kejayaan dalam bidang sains ialah Cik Nisha Mohd Rafiq, 22 tahun. Mahasiswa tahun ketiga dalam jurusan sains biomedikal di NUS ini juga telah menerima pendidikan asas selama 10 tahun di MWTAI.

Keupayaannya dalam bidang ini terserlah kerana beliau telah pun disediakan tempat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran di Kings College di London selepas menamatkan pengajiannya di NUS dalam beberapa bulan lagi.

'Saya tidak pernah terfikir bahawa peluang saya untuk cemerlang berkurangan semata-mata kerana saya menuntut di madrasah. Mungkin kami ada beberapa kekurangan dari segi interaksi dengan pelajar-pelajar bangsa lain atau peralatan bantuan pelajaran di sekolah. Tetapi, ada banyak faedah yang lain seperti unsur-unsur keagamaan yang diterapkan dalam pembelajaran yang kekal bersama kami sehingga kami dewasa,' kata Cik Nisha.

Sebab itulah, kedua-dua Cik Nisha dan Cik Maryam berasa sedih apabila membaca berita tentang kegagalan madrasah tersebut untuk mencapai ukur tara PSLE yang ditetapkan untuk kali kedua semenjak 2008.

Ekoran kegagalan itu, MWTAI tidak dibenarkan menerima kemasukan murid sekolah rendah selama tiga tahun bermula 2012.

Kesedihan guru-guru dan pelajar di madrasah itu juga dikongsi Cik Maryam yang mengajar di sekolah itu selama lapan bulan tahun ini.

'Kegagalan ini menghampakan kerana saya telah mengalami sendiri bagaimana pelajar dan guru-guru bertungkus-lumus untuk mendapat markah yang terbaik... tetapi hajat itu tidak kesampaian akhirnya,' kata Cik Maryam yang bersama Cik Nisha merupakan sukarelawan aktif dalam program membimbing murid darjah enam Apex (Ace PSLE Examination) di MWTAI.

Program yang menggunakan tenaga sukarelawan dari pelbagai bidang itu dimulakan pada 2008 dengan tujuan membantu murid madrasah mempersiap diri sebelum menduduki PSLE.

Selain itu, Cik Maryam dan rakan-rakan yang seangkatan dengannya juga bertemu dua kali sebulan untuk berbincang tentang isu berkaitan keagamaan dan isu semasa.

Katanya, ini adalah satu cara untuk mengekalkan tali persaudaraan antara bekas penuntut madarasah, sambil meluaskan pandangan mereka dalam pelbagai bidang.

'Pada pendapat saya, matlamat pengajian madrasah adalah untuk melahirkan seseorang Muslim yang baik... tidak kira sama ada anda memilih untuk menjadi asatizah atau profesional dalam bidang lain. Dan antara sebab kami berbuat begitu adalah kerana ingin mengekalkan matlamat ini,' kata Cik Maryam.

Pelajar madrasah terbaik dalam peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2008, Dinah Aziz, 18 tahun, yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan GCE peringkat 'A' di Maktab Rendah Raffles, sependapat.

Bekas pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah itu bercadang menggunakan masa rehat sementara menanti keputusan peperiksaan awal tahun hadapan untuk menimbangkan pilihan laluan pengajian seterusnya.

'Saya berminat dalam bidang perubatan, tetapi sedang memikirkan peluang dalam bidang-bidang lain seperti pengajian Islam dan sebagainya.

'Insya-Allah, saya akan lebih tahu tidak lama lagi,' kata Dinah ketika dihubungi.