| Masyarakat Perlu Terus Sokong Madrasah (BH 1 Dec 2010) |
|
|
|
|
BH 1 Disember 2010 FORUM Masyarakat Perlu Terus Sokong Madrasah SAYA merujuk kepada dua laporan bertajuk Wak Tanjong tidak boleh ambil murid darjah satu bagi tiga tahun dan Wak Tanjong akan teliti langkah selanjutnya (BH, 26 November 2010). Saya ingin meluahkan ucapan tahniah kepada setiap pelajar madrasah yang telah berjaya meraih markah memuaskan dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang baru diumumkan. Saya amat terharu akan sikap tekun dan dedikasi pelajar yang perlu membahagikan masa bukan sahaja untuk empat mata pelajaran akademik, malah tambahan enam lagi mata pelajaran ukhrawi. Namun isu kegagalan Madrasah Wak Tanjong dalam mencapai markah purata yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (MOE), dan selanjutnya tidak dibenarkan mengambil kohort pelajar darjah satu bagi tiga tahun sedang hangat diperbualkan di antara para alumni serta anggota masyarakat lain di laman rangkaian sosial. Antara perkara yang dibincangkan termasuk mencari penyebab masalah serta menuding jari kepada beberapa pihak termasuk pentadbiran madrasah ataupun asatizah yang dianggap kurang bertauliah berbanding di sekolah nasional. Saya berpendapat kita tidak boleh membandingkan prestasi pelajar madrasah dengan pelajar sekular. Ini kerana pelajar madrasah wajib mengambil 10 mata pelajaran berbanding empat atau lima (termasuk bahasa ibunda lanjutan) bagi pelajar sekular. Kedua, fokus sistem pelajaran madrasah lebih cenderung pada mata pelajaran ukhrawi kerana antara objektif institusi madrasah adalah melahirkan asatizah yang akan membentuk dan membimbing masyarakat Islam setempat bagi generasi sekarang dan akan datang. Tambahan, semua madrasah setempat merupakan institusi pengajian privet yang sentiasa memerlukan sokongan masyarakat dari segi sumber dana untuk menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah dan bahan-bahan lain yang dapat membantu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Kini sudah terdapat Sistem Madrasah Bersama (JMS). Namun, sistem ini belum terbukti keberkesanannya bagi madrasah-madrasah yang terbabit. Tegasnya, JMS mungkin memerlukan lebih masa untuk meyakinkan madrasah lain untuk menyertainya walaupun ia dapat membantu madrasah dari segi sumber. Saya pasti pihak pentadbiran serta tenaga pengajar Madrasah Wak Tanjong telah mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar dan tentunya perkara ini tidak diingini oleh mana-mana pihak. Sebagai anggota masyarakat yang berterima kasih kepada pihak madrasah yang telah banyak mengasuh asatizah setempat, kita harus menyokong semua madrasah bukan sahaja dari segi bantuan kewangan, malah sokongan moral dengan tidak memburukkan nama madrasah tersebut di mana-mana ruang termasuk ruang siber. Mungkin insiden ini merupakan satu ‘kejadian yang menyentak minda’ bagi Muslim setempat supaya kita memberi perhatian yang lebih mendalam pada masalah-masalah yang dihadapi madrasah setempat dan bersama mencari penyelesaiannya. Setiap yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Nani Iryanni Tajuddin |





