News -Berita Harian News - 07 Feb 2012 PDF Print E-mail
Monday, 13 February 2012 17:42


ustaz mohamed noor
07Feb 2012

Ustaz Mohd Noor dan Iswardy meninggal dunia

By Nurul Dayana Simangoon


MASYARAKAT Melayu/Islam kehilangan dua karyawan disegani - pengasas dan Pengetua Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Ustaz Mohammed Noor Taib, dan sasterawan mapan, Encik Ismail Wardi.

Ustaz Mohammed Noor, 78 tahun, disahkan meninggal dunia sekitar 9.45 pagi di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) setelah mengadu sesak nafas dan rebah di kereta anak sulungnya ketika dalam perjalanan ke madrasah itu, semalam.

Encik Ismail, 62 tahun, penerima pelbagai anugerah sastera, dan lebih dikenali dengan nama penanya, Iswardy, pula meninggal dunia di rumahnya sekitar 6.15 petang kelmarin akibat ketumbuhan di usus besar.


Ditemui semalam, anak Allahyarham Ustaz Mohammed Noor, Ustaz Mohd Abdul Halim Mohd Noor, 51 tahun, yang juga naib pengetua madrasah itu, berkata bapanya pernah diserang sakit jantung dan menjalani pembedahan jantung beberapa tahun lalu.


Allahyarham turut menghidap penyakit Parkinson's ringan sejak sedekad lalu, tambahnya.


Ustaz Mohd Abdul Halim menyifatkan bapanya sebagai pengetua yang tegas, namun berjiwa besar dan gigih berusaha melahirkan pelajar yang menguasai kededua bidang agama dan akademik demi melahirkan golongan ulama intelektual.


'Allahyarham berkhidmat memajukan pendidikan pelajar Islam hingga ke akhir hayatnya,' ujar beliau.


Allahyarham meninggalkan isteri, Ustazah Hamyia Hussein, 71 tahun, dua anak lelaki - Ustaz Mohd Abdul Halim dan Encik Abdul Mubin, 50 tahun, seorang teknisyen - dan lima cucu.


Allahyarham Ustaz Mohammed Noor mengasaskan Madrasah Wak Tanjong pada 1958 - ketika itu ia dinamakan Madrasah Ad-Diniyyah - dan kelas-kelas diadakan di rumah Allahyarham di Kampong Wak Tanjong di Paya Lebar dan dihadiri kurang 100 pelajar.


Pada 1993, bangunan madrasah yang kini berdiri di Sims Avenue itu siap dibina dan madrasah tersebut kini menampung lebih 700 pelajar.


Jenazah Allahyarham dijadualkan dibawa ke Madrasah Wak Tanjong pagi ini dan disolatkan di Masjid Sultan sebelum dikebumikan


Sementara itu, isteri Allahyarham Ismail, Cik Nor Saedah Yasin, 58 tahun, berkata suaminya disahkan mempunyai ketumbuhan di antara pundi kencing dengan usus besarnya pada Mei tahun lalu.


'Ketumbuhannya serius, sebesar 10 inci (25 sentimeter) dan bulan lalu suami saya menjalani pembedahan. Namun, beliau menjadi semakin lemah dan hilang selera makan hingga berat badannya terus susut,' ujarnya.


Allahyarham, yang berpesan agar gambar beliau tidak disiarkan selepas pemergiannya, meninggalkan isteri dan tiga anak, termasuk Encik Eddy Norisman Ismail, 35 tahun, mantan wartawan Berita Harian.


Allahyarham mula menceburi bidang penulisan kreatif pada 1971 dan sepanjang hayatnya telah menulis puisi, skrip drama pentas, cerpen, novel, sajak, esei dan ulasan buku, dan cerpen-cerpennya banyak tersiar dalam akhbar Berita Minggu.


Beliau menghasilkan empat buku kumpulan cerpen termasuk Senandung Orang Lama (2000) dan dua novel termasuk Menjejak Arus (1992).


Penerima Anugerah Persuratan 2001 bagi antologi cerpennya, Senandung Orang Lama, itu selamat dikebumikan pagi semalam.


 

Last Updated on Wednesday, 15 February 2012 12:47