News-Berita Harian-08Feb2012 PDF Print E-mail
Monday, 13 February 2012 18:01

jenazahustazmdnoor
08 Feb 2012
SINGAPURA


Satu kehilangan besar kepada masyarakat Melayu/Islam setempat

Yaacob: Sumbangan dan jasa Ustaz Mohd Noor dalam pendidikan Islam tidak harus dilupa

Oleh
Ervina Mohd Jamil

PEMERGIAN Allahyarham Ustaz Mohammed Noor Taib merupakan satu kehilangan besar, terutama kepada masyarakat Melayu/Islam setempat.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, turut melahirkan rasa dukacita di atas pemergian Allahyarham.

Dr Yaacob, yang juga Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, berkata jasa dan sumbangan Allahyarham terhadap masyarakat dan agama Islam sangat banyak dan penting, dan tidak harus dilupakan.

'Dari segi mewujudkan pendidikan Islam... beliau telah bertungkus lumus serta bekerja keras, dan bermula dengan madrasah yang kecil dengan empat guru dan 100 pelajar sahaja, beliau telah mewujudkan satu madrasah yang boleh kita banggakan.


'Saya rasa ini satu sumbangan yang kita tidak harus lupakan. Beliau adalah salah seorang pengasas yang unggul, yang telah menolong mewujudkan pendidikan agama yang begitu penting bagi masyarakat kita,' kata Dr Yaacob ketika ditemui di Masjid Sultan semalam.


Beliau turut menunaikan solat jenazah yang diimamkan mantan Mufti, Shaikh Syed Isa Semait.


Allahyarham Ustaz Mohammed Noor, pengasas dan pengetua Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, meninggal dunia pada usia 78 tahun kelmarin, setelah mengadu sesak nafas dan rebah di kereta anak sulungnya dalam perjalanan ke madrasah itu.


Dr Yaacob hadir bersama Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa, dan mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed.


Encik Zainul, yang mengenali Allahyarham sejak di bangku sekolah, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mempunyai 'semangat yang cukup luar biasa untuk agama dan pendidikan madrasah'.


'Semasa berhubungan dengan Allahyarham ketika saya menjadi Presiden Muis dulu, semangatnya yang berkobar-kobar dapat dirasakan apabila membincangkan soal pendidikan Islam dan pembangunan madrasah.


'Allahyarham Ustaz Mohammed Noor telah menunjukkan ketabahan dan kecekalan hati untuk mempertahankan sistem yang beliau mahukan bagi Madrasah Wak Tanjong, dan sanggup bertungkus lumus menjayakan pendekatan pendidikan madrasah beliau.


'Apabila menghadapi cabaran dalam membangunkan madrasah, khususnya Madrasah Wak Tanjong, cabaran seperti kekurangan dana tidak mematahkan semangatnya, malah beliau telah berusaha secara kreatif dan meluas bagi mendapat sokongan dari luar negeri,' kata Encik Zainul.


Selain mengasaskan Madrasah Wak Tanjong pada 1958, yang ketika itu dinamakan Madrasah Ad-Diniyyah, Allahyarham juga merupakan antara anggota jawatankuasa pengasas Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan pernah menjadi anggota jawatankuasa Pergas sekitar 1959.


Dalam belasungkawanya, Pergas menyifatkan Allahyarham sebagai seorang guru yang bersemangat kental, terutama dalam memperjuangkan Madrasah Wak Tanjong sehingga madrasah itu mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan (MOE) sekitar 1975.


Haji Mohd Alami, dalam suratnya kepada keluarga Allahyarham Ustaz Mohammed Noor, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai 'satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti'.


'Kecekalan Allahyarham dalam membina, memimpin dan mentadbir Madrasah Wak Tanjong sejak 1958 telah menghasilkan ramai pelajar madrasah yang kini mampu menyumbang kepada masyarakat dalam bidang ukhrawi dan juga akademik,' katanya
.

 

Last Updated on Friday, 23 March 2012 17:35